Bidayuh merupakan salah satu dari suku kaum Dayak yang berada kebanyakannya di barat daya Sarawak di kepulauan Borneo. Perkataan “bidayuh” bermaksud “orang darat” atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai “Land Dayak”. Di Sarawak, suku kaum Bidayuh banyak terdapat di sekitar bahagian Kuching dan Samarahan. Terdapat segelintir suku kaum ini yang berada di Kalimantan Barat, Indonesia. Kaum Bidayuh merupakan suku kaum Dayak kedua terbesar selepas kaum Iban. Mereka terdiri daripada empat pecahan etnik iaitu:
- Selakau/Lara (Daerah Lundu)
- Jagoi/Singai ( Daerah Bau)
- Biatah (Daerah Kecil Padawan)
- Bukar/Sadong (Daerah Serian)
Mereka kebanyakannya beragama Kristian. Hanya sebahagian sahaja yang menganut agama Islam dan animisme.
Pada zaman dahulukala, suku kaum Bidayuh tinggal di rumah panjang. Lazimnya penempatan rumah panjang suku kaum Bidayuh terletak jauh di kawasan pedalaman dan tanah tinggi. Ini adalah bagi tujuan keselamatan iaitu sukar untuk dikesan oleh musuh. Struktur rumah panjang kaum Bidayuh tidak jauh bezanya dengan struktur rumah panjang kaum Iban di Sarawak. Atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu, manakala dindingnya pula daripada buluh. Pelantar atau lantai rumah panjang pula diperbuat daripada papan atau buluh manakala tiangnya pula diperbuat daripada kayu belian.
Rumah panjang kaum Bidayuh terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bilik utama, "awah” dan “tanju”. Bilik utama dapat kita samakan dengan ruang utama kediaman pada masa sekarang. Di dalam bilik ini masyarakat Bidayuh lazimnya meletakkan barang-barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur di kala malam hari. “awah” pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang kaum Bidayuh dan lazimnya ia bertutup dan beratap. Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada masa ini. Di "awah" ini, masyarakat Bidayuh menjalankan aktiviti aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan “awah” juga akan digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta-pesta tertentu seperti pesta gawai dan sebagainya. "tanju" pula adalah bahagian paling luar di dalam rumah panjang kaum Bidayuh. Bahagian “tanju” agak terdedah dan lazimnya ia tidak bertup mahupun beratap. “tanju” lazimnya digunakan untuk menjemur hasil tuaian masyarakat Bidayuh seperti padi, lada, jagung dan sebagainya.
BAHASA BIDAYUH
Bahasa Bidayuh agak unik berbanding bahasa bahasa lain yang terdapat di Sarawak. Keunikan ini adalah berdasarkan sebutan,pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan. Lazimnya bahasa Bidayuh akan berubah intonasi dan bahasa mengikut kampung dan daerah tertentu. Ini menyebabkan suku kaum ini sukar untuk berkomunikasi antara satu sama lain sekiranya mereka dari suku dan daerah yang berlainan.
Bahasa Bidayuh ini mempunyai 5 dialek utama iaitu:
1. Bukar-Sadong
2. Singai-Jagoi
3. Biatah(Siburan, Padawan & Bia')
4. Bra'ang-Pinyawa
5. Sepug-Emperoh & Gumbang
Contoh bahasa Bidayuh untuk setiap dialek adalah seperti di bawah:
Melayu | Bukar-Sadong | Bau-Jagoi | Siburan-Padawan | Bra’ang-Pinyawa | Lundu(Salako) |
bapa | Amang | sama | sama | Sama | apak/bapak |
ibu | ande/ayang | sino | sendo | sin(d)o | inuk, indok, umak |
makanan | pima-an | pinguman | pima-an | pinguman | pamakanan |
nasi | songkoi/sungkoi | tubi | tubi | Tubi | nasik |
aku | Aku | oku | Eku | Aku | aku |
kamu/anda | amu/akam | mu-u/ingan | ku-u/kaam | (k)u’u/ka’am | kau |
PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT BIDAYUH
Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat Bidayuh. Bagi kaum wanita masyarakat Bidayuh, pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung berwarna hitam paras lutut yang dihiasi dengan manik manik halus pelbagai warna disulami dengan kombinasi warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang indah atau penutup kepala daripada kain berwarna-warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh.Kaum lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora dan seluar hitam atau cawat yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit kepala pula adalah pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini.
MUZIK MASYARAKAT BIDAYUH
Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh. Muzik juga memainkan peranan dalam pemberitahuan motif sesuatu upacara yang dijalankan. Umumnya muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang gong besar, canang, gendang dan tawak (sejenis gong kecil). Terdapat juga alat muzik tradisional yang lain seperti serunai/seruling dan gitar buluh. Namun alat muzik seumpama ini amat kurang dimainkan kerana proses pembuatannya yang agak rumit.
SENJATA TRADISIONAL MASYARAKAT BIDAYUH
Lembing, tombak, parang ilang (parang pendek), sumpit, "jepur" (seakan samurai) dan "rira" (meriam kecil)adalah peralatan senjata yang lazimnya digunakan oleh masyarakat ini untuk berperang pada zaman dahulu kala.
No comments:
Post a Comment